Salahkah untuk Dia, Kamu dan Aku Berubah?


Situasi ini mungkin terjadi...


"Pasti ada saat di mana kita merasa bahawa kita perlu berubah. Ketika hati dan fikiran mula sedar akan segala kesilapan dan kesia-siaan yang dilakukan, hati mula merasa fitrah. Perasaan ingin membetulkan keadaan terus bercambah. Tetapi, di saat ini jugalah syaitan membisikkan kejahatan, masyarakat seolah-olah tidak memberikan sokongan, keluarga pula memberi sindiran, rakan-rakan mula berjauhan dan akhirnya, kita merasa keseorangan....."


Saya merasa pelik dengan dunia sekarang. Adakalanya, kita dapat melihat sesetengah masyarakat kini sudah terbalik justifikasinya. Perilaku yang buruk dilakukan secara terbuka dan tanpa kerisauan, perilaku baik dipandang serong dan penuh kepuraan. Jika dihuraikan topik ini, sudah tentu lebih banyak yang boleh diperkatakan.


"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (AlBaqarah: 222)


"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az-Zumar: 53)


Apabila kita katakan kita ingin berubah, sebenarnya itulah titik perubahan kita. Kita mula berfikir secara sedar akan tindakan sebenar yang perlu diusahakan. Perubahan mungkin tiba bilamana kita diubah oleh faktor luaran ataupun faktor diri sendiri yang ingin berubah. Samada kita ingin membuat perubahan secara 'diubah' atau 'berubah' bergantung pada pilihan kita.


Peperangan akan terjadi dalam hati dan minda. Kita mungkin akan merasa risau untuk membuat suatu perubahan. Mungkin sesetengah dari kita tefikir:


  • Aku takut untuk berubah...takut disindir dan diherdik orang sekeliling....
  • Aku takut untuk berubah...bimbang ia tidak bertahan lama....
  • Aku takut untuk berubah...aku tak layak kerana sudah biasa buat dosa....
  • Aku takut untuk berubah...mungkin hilang harta dan nama...
  • Aku takut untuk berubah...sekarang mungkin bukan masanya, tunggu masa tua, hati masih belum terbuka...


Ini mungkin sebahagian dialog di minda kita hasil dari acuan pendidikan yang kurang sempurna. Iman yang turun naik dalam diri kita adalah perkara biasa. Kita tidak seharusnya takut akan kemungkinan kesalahan yang kita bakal lakukan di hari muka, tetapi terus berusaha dari hari ke hari lainnya agar berada tetap dalam jalan kebenaran. Bekalkan dengan doa dan tawakkal kepada Allahu Taala. 


Kita juga tidak sepatutnya takut dengan persepsi buruk masyarakat luar. Tentulah kerana darjat mereka terlalu rendah berbanding sang Pencipta. Amatlah sedih sekiranya kita takut untuk membuat kebaikan kerana bimbang di 'cop' sebagai hipokrit dan sebagainya. Ini adalah salah satu ciri-ciri munafiq. Mohon dijauhkan....


Perubahan bergantung kepada apa yang kita masukkan dalam tubuh kita. Umpama cara pemakanan kita. Sekiranya terlalu banyak makanan masin diambil, kita mudah mendapat darah tinggi. Begitu juga dengan minda kita di mana, jika kita masukkan pemikiran negatif dan kotor, pemikiran ini jugalah yang akan merosakkan kita. Pemikiran yang penuh prasangka, dengki, keluhan  akan mengundang kekalahan. Akhirnya, kita sendiri tidak mampu untuk mengawal dan mengendali diri sendiri.


Kita boleh berfikir:


  • Aku mahu berubah sekarang...tak kisah apa masyarakat pandang, asalkan Allah sayang....
  • Aku mahu berubah sekarang...usaha dahulu, tambah doa buat kekuatan
  • Aku mahu berubah sekarang...Allah suka mereka yang bertaubat nasuha
  • Aku mahu berubah sekarang...pengorbanan pasti ada balasan kebaikan
  • Aku mahu berubah sekarang...tak tahu bila ajal bertandang


Marilah sama-sama berubah menjadi lebih baik serta mengajak orang lain menjadi baik. 



~~~


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...